Sunday, 5 April 2015

Apa Itu Penyu dan nak tahu punca kepupusan Penyu?






Penyu laut termasuk ke dalam kelompok reptilia yang mempunyai daerah jelajah yang sangat luas yang mendiami laut tropis dan subtropis di seluruh dunia. Penyu laut diperkirakan telah menghuni bumi ini lebih dari 100 juta tahun. Oleh kerana itu, penyu laut dikenali sebagai fosil hidup. Terdapat 7 spesies penyu di dunia iaitu Penyu hijau (Chelonia mydas), Penyu sisik (Eretmochelys imbricata), Penyu Kemp’s ridley (Lepidochelys kempi), Penyu lekang (Lepidochelys olivacea), Penyu belimbing (Dermochelys coriacea), Penyu pipih (Natator depressus) dan Penyu tempayan (Caretta caretta).
Penyu laut telah mengalami penurunan yang dramatis dalam jumlah populasi dalam jangka waktu terakhir ini. Bahkan beberapa spesies terancam kemusnahan dalam waktu yang dekat. Di alam, penyu-penyu yang baru menetas menghadapi ancaman kematian dari haiwan-haiwan seperti kepiting, burung, dan reptilia lainnya seperti biawak. Pembangunan daerah pesisir yang berlebihan telah mengurangi habitat penyu untuk bersarang. Penangkapan penyu untuk diambil telur, daging, kulit, dan cengkerangnya telah membuat populasi penyu berkurang. Di beberapa negara, penduduk masih mengambil telur penyu untuk digunakan. Telur-telur itu dapat ditemui di pasar.
Di Indonesia, daerah Bali, penyu hijau termasuk penyu yang dimanfaatkan secara berlebihan oleh para penduduk. Mereka dibunuh untuk diambil dagingnya. Selain itu, mereka menggunakan penyu dalam upacara-upacara adat mereka. Ribuan penyu telah terbunuh untuk memenuhi permintaan pasar di Bali. Begitu juga halnya di Australia, penyu hijau diburu untuk diambil dagingnya dan dijadikan sumber pendapatan. Tidak jauh bezanya di Malaysia, pengutipan telur secara haram, penggunaan peralatan perikanan yang boleh memudaratkan penyu sama ada memusnahkan habitat atau tempat makan penyu, pencemaran serta pembangunan pantai dan aktiviti pelancongan yang di luar kawal telah menyebabkan penyu mati dan mengurangkan pendaratan penyu di pantai.
Begitulah dramatisnya ancaman yang melanda spesies penyu. Tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti manusia merupakan penyumbang terbesar kepada penurunan populasi penyu. Manusia sebagai makhluk yang berakal haruslah menggunakan akalnya dengan rasional dan bijak dalam menangani pelbagai masalah lebih-lebih lagi masalah yang timbul daripada tangan sendiri. Dengan kata lain, tragedi penyu hampir pupus adalah disebabkan sebahagian aktiviti manusia, maka manusia merupakan badan yang paling bertanggungjawab mencari jalan penyelesaiannya.
Penyu sebagai makhluk Tuhan berhak dipelihara dan dilindungi daripada sebarang ancaman. Hadis Nabi s.a.w bermaksud setiap amal kebajikan yang dilakukan terhadap makhluk selain daripada manusia akan diberi ganjaran pahala. Dapatlah disimpulkan bahawa flora dan fauna berhak dihormati dan dilindungi oleh manusia. Setiap amal kebajikan yang dilakukan terhadap makhluk-makhluk Tuhan akan dibalas dengan pahala di sisi Tuhan Justeru, kita perlu mencari jalan penyelesaian bagi menghalang penurunan populasi penyu semakin parah.
Kebelakangan ini, manusia begitu sibuk mengagungkan hak-hak mereka, tetapi terlupa akan hak-hak flora dan fauna yang semakin terdesak. Amat menyedihkan. Hakikatnya, manusia mempunyai kedudukan yang tertinggi berbanding makhluk-makhluk lain dunia ini. Apakah yang membezakan antara manusia dan makhluk-makhluk lain? Mudah sekali, sudah tentulah kerana status akal yang dimiliki manusia yang begitu tinggi nilainya. Namun sayang, manusia tidak menggunakan anugerah Yang Maha Agung itu dengan bijaksana malah merosakkannya. 
Dari surah Al-Ahzab ayat 72 bermaksud “ Sesunguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi, dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikulllah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh”.
Berdasarkan ayat tersebut makhluk-makhluk lain tidak sanggup memikul tanggungjawab untuk memelihara dan mengawasi alam ini. Manusia telah diberi amanah untuk melaksanakan tugas-tugas agama yang mencakupi semua aspek kehidupan termasuklah penjagaan alam sekitar yang merangkumi tumbuh-tumbuhan dan haiwan di dunia ini. Melihatkan fenomena yang berlaku terhadap penyu pada abad ini, gerak kerja ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan spesies haiwan tersebut mestilah diusahakan dalam menyahut tanggungjawab sebagai khalifah Allah s.w.t. perlu ditekankan di sini bahawa usaha ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan flora dan fauna adalah satu kewajipan umat Islam sama ada individu ataupun masyarakat.
Berdasarkan surah Al-Ahzab tadi ia juga menggambarkan sikap manusia yang zalim dan bodoh dalam memerintah dunia ini. Menyedarkan hakikat ini, manusia haruslah sedar akan tanggungjawab sebenar mereka dalam mentadbir dunia ini. Mengubah sesuatu daripada yang buruk kepada yang baik itu adalah satu amanah.
Di Australia, Mon Repos Conservation Park merupakan tempat pelancongan yang membolehkan para pengunjung melihat penyu (turtle-based tourism). Ia terletak di pantai kota kecil di Bargara bahagian utara Queensland berhampiran Bundaberg. Mon Repos Conservation diuruskan oleh Queensland Parks and Wildlife Service (QPWS). Para pengunjung dibawa ke tepi pantai pada waktu malam untuk melihat penyu dibawah pengawasan renjer-renjer QPWS.Setiap kumpulan tidak melebihi 70 orang. Penggunaan lampu suluh dilarang sama sekali dan pengunjung sentiasa dibimbing bagi mengelakkan kesan buruk terhadap penyu-penyu tersebut. Kakitangan QPWS akan menerangkan proses penyu bertelur, penyampaian audio-visual tentang cara penetasan telur penyu, sejarah penyu, biologi dan evolusi, kajian penyu laut dan masalah-masalah pemeliharaan penyu.
Apa yang dibawakan oleh Mon Repos Conservation Park ialah pusat pelancongan penyu yang memberi faedah ekonomi negara dan pada masa yang sama mendidik manusia memelihara penyu daripada kemusnahan. Malaysia patut mencontohi Australia dalam pendekatan ke arah baik pulih populasi penyu malah dapat meningkatkan taraf ekonomi negara dalam sektor pelancongan. Negeri Terengganu merupakan satu contoh dalam hal ini. Berbicara dari segi konteks negeri Terengganu khasnya, penyu haruslah dilindungi dek penangannya yang begitu harum di persada Terengganu. Penyu merupakan simbol kebanggaan rakyat tempatan apabila beribu-ribu ekor penyu menetas dari sarangnya. Penyu merupakan simbolik haiwan yang begitu sinonim dengan negeri Terengganu Darul Iman. Apa yang paling menyedihkan sekarang ialah, spesis penyu hampir pupus sekaligus memudarkan keindahan sejarah kegemilangan penyu di Terengganu. 
Masyarakat haruslah tidak menggunakan barang-barang yang diperbuat daripada cengkerang penyu seperti bingkai kacamata, tidak membeli makanan yang berasal daripada penyu, tidak membuang sampah plastik dan benda-benda lain yang berbahaya ke dalam laut. Penyu mungkin tersalah menganggap plastik sebagai makanan mereka iaitu obor-obor sehingga menyebabkan sakit atau kematian penyu yang memakannya. Masyarakat juga hendaklah mengelakkan daripada mengganggu penyu yang sedang bertelur kerana mereka dapat menghentikan proses bertelur apabila merasa terancam, tidak mengambil telur-telur penyu kerana akan menghancurkan populasi mereka, menjaga kesihatan terumbu karang yang merupakan tempat makan dan tempat tinggal yang baik untuk penyu serta turut mendukung program pemeliharaan dan pemuliharaan penyu laut.

Seperti yang kita semua ketahui, di Malaysia, jika dikatakan penyu saya pasti semua akan menyebut Terengganu. Hal ini kerana Terengganu merupakan satu tempat dimana terdapatnya spesis penyu secara besar-besaran. Tetapi kini, untuk menukarkan persepsi kita semua, saya telah menemui sebuah tempat yang lain untuk dikatakan di sini pun kita boleh jumpa penyu. Adakah anda teringin untuk mengetahui tempat itu? Jika ya, jom ikuti kajian saya.

No comments:

Post a Comment